Berita Utama

3 air pasang besar diramal berlaku pada Januari hingga Februari

Akan tenggelami kawasan rendah sekira tak diberi perlindungan

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Tiga fenomena air pasang besar diramal berlaku di negara ini bermula awal bulan ini hingga awal bulan depan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Azmi Ibrahim berkata ia bermula pada 2 hingga 5 Januari, diikuti 18 hingga 21 Januari dan 31 Januari hingga 3 Februari.

Beliau berkata paras air laut yang tinggi sekali gus menjadi faktor berlakunya banjir air pasang besar.

“(Air pasang besar) memang akan menenggelami kawasan-kawasan yang rendah sekiranya tidak diberi perlindungan,” katanya dalam program wawancara Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata antara perlindungan yang biasa dilakukan adalah membangunkan penghadang di sepanjang pantai bagi mengelak air pasang besar yang akan menyebabkan banjir di kawasan persisiran pantai.

“Suasana akan menjadi lebih buruk sekiranya pada masa sama air sungai itu tinggi disebabkan hujan lebat, jadi air sungai tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung dengan air laut yang tinggi, menyebabkan berlakunya pertembungan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Terdahulu, JPS melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu melibatkan kawasan berisiko tinggi termasuk Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk di Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button