Berita UtamaIstimewa

Balak haram: Mohon PM respons, sampai bila kerajaan nak berdiam diri?

Adakah ada kaitan dengan kroni pembalak raih hasil keuntungan?

BANGI, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Sikap berdiam diri kerajaan berhubung isu pembalakan haram yang dikatakan menjadi punca banjir besar mengundang tanda tanya.

Walhal, bencana banjir kali ini antara banjir yang paling teruk dalam sejarah negara, bahkan ribuan rakyat menjadi mangsa sehingga mereka kehilangan nyawa dan tempat tinggal.

Justeru, Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera menjawab isu kontroversi pembalakan haram yang semakin berleluasa.

“Lebih mengejutkan lagi, Perdana Menteri hanya berdiam diri sahaja apabila banyak pembongkaran kegiatan pembalakan haram ini berlaku terutamanya di kawasan Karak.

“45 NGO telah menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat, tetapi sehingga sekarang masih tiada apa-apa tindakan.

“Apakah tindakan berdiam diri ini ada kaitan dengan kroni-kroni pembalak daripada kalangan ahli politik untuk meraih hasil keuntungan balak?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Fahmi menegaskan bahawa nasib mangsa banjir masih belum terbela sepenuhnya.

Bahkan, ada di antara mereka sekarang tinggal sehelai sepinggang dan dalam keadaan terkapai-kapai mahu mulakan hidup baharu.

“Berhenti politikkan isu ini, berpura-pura prihatin, mengaku sahaja kesalahan dan mohon maaf kepada semua mangsa banjir,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button