Berita UtamaDunia

Florona, penyakit gabungan COVID-19 dan influenza?

Dikenal pasti pada seorang wanita hamil di Israel

TEL AVIV, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Israel merekodkan kes pertama penyakit ‘florona’, jangkitan yang difahamkan merupakan gabungan COVID-19 dan influenza, lapor Arab News.

Namun apa yang pasti, ia bukanlah varian baharu novel coronavirus, atau ketakutan masalah kesihatan yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.  

‘Florona’ adalah terma baharu yang digunakan untuk menggambarkan dwijangkitan atau koinfkesi virus influenza serta Sars-CoV-2. 

Laporan di Israel mengatakan, salah satu kes pertama gabungan COVID-19 dan influenza yang dikesan adalah pada kes wanita hamil yang sedang dalam persediaan untuk bersalin di hospital. 

Dalam kes khusus wanita tersebut, laporan mengatakan bahawa dia tidak mengambil vaksin untuk kedua-dua penyakit itu.

Walaupun terdapat kebimbangan terhadap laporan kes florona, pakar mengatakan bahawa ‘koinfeksi virus kerap berlaku di alam semula jadi’.

Malah, sejak awal pandemik, pakar kesihatan awam telah bimbang mengenai kes gabungan COVID-19 dan influenza, tetapi penjarakan sosial dan langkah berjaga-jaga lain terhadap COVID-19 dilihat telah mengawal penyebaran kes influenza dengan ketara. 

“Walau apa pun kelaziman sejarah koinfeksi, kejadian berkembar tidak pernah berlaku pada musim sejuk lalu. Mungkin disebabkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial, jumlah selesema di AS jauh lebih rendah daripada biasa pada musim 2020-21,” kata laporan dalam majalah The Atlantic.

Sementara itu, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature menyatakan bahawa bukti epidemiologi yang dikumpulkan mengenai interaksi antara COVID-19 dan selesema terlalu sedikit.

“Mungkin disebabkan oleh kadar jangkitan (virus influenza) yang rendah akibat daripada penjarakan sosial.

“Walau bagaimanapun, dengan sekatan wabak yang kembali, dan lebih sedikit orang yang mendapat suntikan selesema, amaran yang sama telah kembali,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button