Berita Utama

Pilih calon BERJASA PRU15 nanti

Kepimpinan bebas 'warlord', dinosaur politik tua, tiada salah laku

BANGI, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Begitu nasib rakyat selepas kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan, namun tanpa diduga kini berdepan ancaman varian Omicron dan bencana banjir.

Tidak dapat dinafikan ia cabaran besar buat rakyat yang masih belum boleh bernafas akibat penutupan sektor ekonomi melalui dasar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Bahkan, perkembangan ekonomi ketika ini dilihat masih lagi tidak begitu memberangsangkan.

Tidak cukup itu, rakyat juga terpaksa berdepan dengan ketidaktentuan senario politik negara – seolah-olah petanda Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) makin hampir.

Tidak menolak kemungkinan itu, Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, gerak politik hari ini menunjukkan tanda amat jelas bahawa PRU15 pasti akan berlaku dalam tahun ini.

“Maka sekali lagi rakyat perlu berhadapan dengan aktor-aktor politik dan lakonannya. Menabur janji dan wang untuk kekal berkuasa.

“Rakyat sudah muak melihat kepimpinan politik yang lama. Diterajui oleh pimpinan politik dinosaur. Pemimpin politik dinosaur ini akhirnya membawa negara dan rakyat bergerak ke belakang.

“Memimpin dengan gaya lama, dipenuhi rasuah, politik wang, budaya warlord, membodek, salah guna kuasa, kronisme yang akhirnya memberi kesan kepada produktiviti negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau yakin rakyat mahukan pembaharuan bahkan tegasnya, Malaysia memerlukan kepimpinan baharu.

“Kepimpinan yang terdiri daripada mereka yang bebas daripada warlord, dinosaur politik tua, kaki bodek, bebas salah laku dan dakwaan kes mahkamah dan tidak terpalit politik wang serta korup moral.

“Saya tidak berselindung untuk mengajak semua rakyat Malaysia untuk memilih bakal-bakal calon dari Parti BERJASA yang akan dibariskan dalam PRU15 nanti.

“Kami sudah bersedia untuk memberi pilihan kepada rakyat untuk kita hantar muka-muka baharu ke Parlimen Malaysia kelak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button