
AMMAN, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Jet Russia mengebom kawasan berhampiran bandar Idlib di barat laut Syria pada Ahad – menandakan permulaan tahun baharu bagi benteng terakhir dikuasai pembangkang.
Menurut pusat pengesanan, jet Sukhoi Russia menggugurkan bom di beberapa bandar dan stesen pam air utama di bandar Idlib yang penduduknya lebih luas melebihi sejuta.
Tiada ulasan segera daripada Russia atau tentera Syria, yang mengatakan ia menyasarkan tempat persembunyian kumpulan yang mengawal wilayah itu tetapi menafikan sebarang serangan ke atas orang awam.
Pegawai kanan PBB yang mengesahkan stesen air itu ‘rosak teruk’ dalam serangan udara itu berkata, serangan sedemikian memburukkan lagi nasib jutaan rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal.
Katanya, pemusnahan infrastruktur awam yang berterusan hanya menyebabkan lebih banyak penderitaan orang awam, justeru ia mesti dihentikan.
Saksi berkata, serangan dalam 24 jam terakhir di kawasan yang dikuasai pemberontak itu turut mengenai ladang ternakan dan berhampiran sempadan Bab al Hawa dengan Turki.
“Russia memberi tumpuan kepada infrastruktur dan aset ekonomi. Ini bagi menambah penderitaan rakyat,” kata pegawai dalam pentadbiran pembangkang, Abu Hazem Idlibi.
Menurut penduduk setempat dan pasukan penyelamat, sasaran lain termasuk perkampungan di wilayah Jabal al-Zawiya di bahagian selatan wilayah Idlib, tanpa laporan segera mengenai angka korban.
“Satu siri serbuan selepas malam Sabtu melanda kem sementara yang menempatkan ribuan keluarga yang dipindahkan berhampiran Jisr al Shuqhur, barat Idlib.
“Dalam serangan itu, dua kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh dan 10 orang awam cedera,” kata perkhidmatan pertahanan awam. – Agensi