Berita Utama

Tangguh umrah: Pengusaha pelancongan kecewa kerajaan umum tanpa bincang

Gesa pertimbang semula keputusan, hanya perlu ketatkan SOP

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pengusaha agensi pelancongan dan pengembaraan mula menyuarakan kekecewaan mereka terhadap pembatalan ibadah umrah pada saat-saat akhir berikutan lonjakan kes varian COVID-19, Omicron dalam kalangan mereka yang pulang ke tanah air.

Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), sebuah persatuan yang mewakili ejen pelancongan dan pengembaraan, menggesa kerajaan mempertimbangkan semula penangguhan sementara itu dan sebaliknya mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) jemaah umrah.

Presiden Bumitra, Harun KC Ahmmu berkata, pengumuman mengejut yang berkuat kuasa 8 Januari itu, telah menyebabkan kekeliruan dan menyusahkan jemaah umrah yang kini ingin membatalkan perjalanan mereka atau mendapatkan bayaran balik penuh daripada pengelola perjalanan.

“Pengumuman itu telah mencetuskan ketakutan di kalangan jemaah umrah yang mula menghubungi ejen meminta bayaran balik penuh. Sudah terlambat untuk kami mengembalikan semula bayaran jemaah yang terjejas ini kerana kebanyakan pengusaha pelancongan sudah membayar wang kepada rakan sejawatan mereka di Arab Saudi.

“Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengejutkan kami kerana kami telah membuat persiapan yang diperlukan untuk jemaah sehingga Mac,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada membatalkan ibadah umrah bagi rakyat Malaysia, kerajaan sebaliknya perlu mempertimbangkan untuk mengenakan SOP yang lebih ketat kerana semua bakal jemaah umrah telah divaksin sepenuhnya.

“Pejabat kami telah dibanjiri dengan panggilan telefon dan pertanyaan daripada mereka yang ditetapkan untuk melakukan perjalanan dari sekarang hingga Mac.

“Malangnya, kami tidak dapat menampung semua permintaan bayaran balik kerana bayaran telah dibuat dan tiket ditempah lebih awal,” katanya.

Harun juga menyatakan bahawa caj wajib kuarantin hotel bagi mereka yang pulang dari umrah perlu lebih berpatutan. 

Beliau berkata pada masa ini, caj hotel antara RM250 dan RM300 semalam, yang dianggap mahal oleh ramai jemaah.

“Kementerian yang terlibat dalam pengurusan jemaah umrah harus mengkaji semula caj yang tinggi ini kepada harga yang lebih berpatutan. Pengumuman saat akhir ini telah memberi jemaah tiada pilihan selain membayar dan menyelesaikan kuarantin di hotel yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, ramai pengusaha pakej pelancongan umrah hampir ditutup selepas pengumuman itu kerana mereka tidak dapat membayar balik wang jemaah.

Harun berasa kesal dek kerana kurangnya perbincangan dengan pengusaha pelancongan sebelum membuat keputusan.

“Biasanya, kementerian akan berbincang dengan kami terlebih dahulu supaya kami boleh berbincang tentang cara terbaik ke hadapan tetapi kali ini, kami tidak dirujuk sebelum pengumuman itu,” katanya.

Kerajaan telah menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan mereka yang pulang ke Malaysia.

Sehingga Sabtu, seramai 1,306 jemaah yang pulang dari Arab Saudi telah diuji positif COVID-19, dengan 64 daripadanya membawa varian Omicron.

Penangguhan itu bagi memberi masa kepada kerajaan merancang pengurusan perjalanan mereka yang akan menunaikan umrah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button