Berita Utama

UMNO jangan terlalu yakin gerak solo

Salah buat keputusan beri kesan pada agama, bangsa dan negara

BANGI, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pertandingan lebih tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti seolah-olah tidak dapat dielakkan, meskipun PAS tetap bersama Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, UMNO sudah membuat keputusan, semua kerusi yang dimenangi dalam PRU14 lalu, tetap akan dipertahankan.

Bahkan UMNO tidak akan memberi laluan kepada Bersatu, kerusi yang asal menjadi miliknya dimenangi, kemudian terlepas disebabkan oleh lompatan yang berlaku, kata pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Malahan, pemimpin PN sudah pun mengeluarkan kenyataan akan bertanding semua kerusi yang ditandingi UMNO, katanya.

“Apa yang boleh dimainkan oleh PAS di situ? Pertandingan lebih tiga penjuru memang tidak dapat dielakkan dalam PRU15, termasuk negeri-negeri ‘kuat PAS’ seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Asabiah apa yang ingin dipecahkan?

“Apakah PAS ada kuasa ajaib untuk menyatukan kedua-dua parti ini, sedangkan PAS sendiri tidak mampu dalam mempertahankan MN itu sendiri.

“UMNO menyalahkan PAS. PAS menyalahkan UMNO dalam soal memperkasakan MN,” katanya menulis di kolumnis Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan PAS bahawa ‘al-ghalabah’ dalam politik demokrasi banyak ditentukan oleh jumlah dan kuantiti bukan soal nak menjaga hati semua pihak.

“Jangan jadi Pak Pandir dan Mak Andeh yang berdayung ke majlis kenduri. Akhirnya, ke hulu tak dapat, ke hilir melepas.

“Al-Ghalabah makna biasa ialah kalah, tersalah, tewas, terlanjur atau juga silap. Dalam kata lain, tersilap atau terlanjur.

“Realiti politik hari ini, kesilapan dalam membuat keputusan akan memberikan kesan yang mendalam terhadap agama, bangsa dan negara. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna,” katanya.

Ridhuan Tee tidak menolak kemungkinan kesilapan atau keterlanjuran mungkin berlaku kepada PAS dalam membuat percaturan politik.

“Begitu juga dengan UMNO, selepas tiga PRN berlalu, Sabah, Melaka dan Sarawak, mula merasakan dirinya kuat, tidak perlu lagi kepada rakan lain. Mahu bergerak solo. Jangan terlalu yakin.

“PRN dan PRU berbeza. PRN memilih ketua negeri. Tetapi PRU, cenderung kepada kerajaan Persekutuan atau Putrajaya. Kerusi DUN berbeza dengan kerusi Parlimen.

“Ultra kiasu lebih mengidamkan kerusi Parlimen daripada DUN. Ingat, rakyat sedang menilai semua percaturan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button