Berita Utama

Vernakular bukan badan awam, alih peruntukannya kepada SK

Ribuan sekolah kerajaan masih daif terutama di kawasan pedalaman

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Tindakan kerajaan memberi peruntukan kepada sekolah vernakular – bukan pihak berkuasa awam – ibarat menganaktirikan institusi pendidikan milik Kementerian Pendidikan yang masih daif.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, sebagai badan swasta, sekolah tersebut seharusnya membiayai sendiri semua perbelanjaannya dan tidak menggunakan atau memohon peruntukan kerajaan.

“Banyak taikun yang kaya-raya boleh dan sedia membantu mereka pada bila-bila masa sahaja.

“Apatah lagi dasar dan sikap kebanyakan mereka tidak mahu meraikan bahasa rasmi negara sebagai bahasa penghantar. Lebih-lebih lagi apabila kurikulum yang tidak berkiblatkan negara ini seperti UEC misalnya,” katanya kepada Ismaweb.net.

Justeru, beliau menyarankan segala peruntukan untuk sekolah tersebut dialihkan sepenuhnya bagi memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah yang sedia mematuhi kurikulum, falsafah pendidikan dan bahasa kebangsaan.

Jelasnya, selain daripada agensi kerajaan dan badan awam, tentunya tidak menjadi kewajipan serta tanggungan pihak kerajaan untuk memberikan sebarang bantuan kewangan apatah lagi peruntukan khusus daripada belanjawan negara pada setiap tahun.

“Jika hal ini diambil kira maka apakah statusnya segala peruntukan tahunan berjumlah jutaan ringgit daripada belanjawan negara yang cukup banyak yang diberikan secara tetap setiap tahun kepada bukan badan awam selama ini seperti sekolah vernakular tersebut yang dikelaskan sebagai bukan badan awam?

“Tidakkah sebenarnya peruntukan yang besar itu sepatutnya disalurkan kepada ribuan sekolah kerajaan sendiri yang masih daif terutama di kawasan pedalaman semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak?” soalnya.

Kamal berpandangan bahawa tidak mustahil pihak kerajaan dan KPM terdedah kepada tindakan undang-undang susulan keputusan mahkamah baru-baru ini menyatakan sekolah vernakular bukan bersifat badan awam.

“Ini kerana menyalurkan bantuan yang begitu banyak setiap tahun atau secara berkala kepada institusi tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Malah, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan berdasarkan latar belakang sejarah serta perundangan Perkara 152 (bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button