Berita Utama

Rombak segera, rakyat muak dengan menteri Kabinet sekarang

Masalah umpama barah, menteri hanya pandai bercakap

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Rakyat kini semakin kecewa dengan prestasi menteri Kabinet yang dilihat gagal ‘berfungsi’ baik dan tidak mampu merasai denyut nadi golongan bawahan.

Oleh yang demikian, desas-desus yang menyatakan bakal berlaku rombakan dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu berita yang dinanti-nantikan.

Hal ini kerana, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengangkat individu yang layak dan berkualiti untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Ini perlu dilakukan segera kerana kita tidak mahu melihat barah yang boleh merebak ke seluruh Kabinet itu menghancurkan kerajaan.

“Rakyat sebenarnya muak melihat menteri hanya pandai bercakap sahaja, tetapi tiada tindakan apabila rakyat berdepan kesukaran dan situasi itu telah kita lihat baru-baru ini.

“Jadi inilah saat yang paling sesuai kerajaan menilai dan gantikan kepada mereka yang layak daripada terus ‘menyimpan’ individu yang langsung tidak berfungsi,” katanya kepada ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus menyatakan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat dengan tiga orang menteri dijangka gugur daripada jawatan disandang.

Rombakan berkenaan dibuat gara-gara kegagalan mereka menguruskan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini dan mengundang pelbagai kritikan terhadap kepimpinan menteri-menteri tersebut.

Cikgu Izzat berpandangan, Perdana Menteri perlu tegas dalam membuat keputusan dan membentuk kerajaan yang berjiwa rakyat supaya keyakinan terhadap mereka dipulihkan.

“Saya rasa apa yang diperlukan negara adalah menteri yang berjiwa rakyat dan menawarkan khidmat secara jujur dan bukannya yang pentingkan diri sahaja dan sanggup lihat rakyat hidup susah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button