Berita Utama

Umpan raih undi, tak mustahil UEC diiktiraf selepas ini

Ia rentetan keputusan mahkamah dalam isu vernakular

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Jika dilihat kepada situasi politik semasa, adalah tidak mustahil sekiranya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf kerajaan selepas ini.

Hal ini kerana, golongan politikus mengetahui isu berkenaan boleh dijadikan sebagai ‘umpan’ untuk meraih undi dalam kalangan kaum Cina.

Malah, sejarah pernah menyaksikan bagaimana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk mengiktirafnya di Sarawak jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Atas dasar itu, Naib Presiden BERJASA, Haji Samad Ashaari mengingatkan, semua ahli politik perlu memiliki harga diri supaya perkara sedemikian tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Katanya, ini memandangkan isu berkenaan melibatkan sistem pendidikan negara yang berkemungkinan besar memberi kesan kepada perpaduan rakyat.

“Apa pun berlaku kita tidak boleh iktiraf sijil UEC ini yang bertongkatkan silibus dari Taiwan, sedangkan kita memiliki asas pendidikan yang kukuh sejak sebelum merdeka lagi.

“Jangan kerana memiliki agenda politik dan kepentingan kita ‘jual’ hak kita sehingga menggadaikan masa depan generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang merasakan, tidak mustahil UEC akan diiktiraf selepas ini berikutan keputusan mahkamah dalam kes sekolah vernakular, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Samad berkata, ahli politik yang bersikap sedemikian hanya memikirkan tentang ‘poket’ sendiri tanpa mempedulikan perihal masa hadapan negara dan generasi masa hadapan.

“Kita pelik masih wujud ahli politik yang tergamak mahu jual negara demi kepentingan, keadaan ini hanya menguntungkan untuk jangka masa pendek sedangkan negara dan masa depan generasi depan berada dalam ambang kemusnahan,” katanya.

Beliau merasakan sudah tiba masanya ahli politik berubah untuk membetulkan keadaan negara yang semakin terumbang ambing angkara perbuatan pemimpin terdahulu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button