Berita UtamaDunia

45 penumpang kapal MSC Grandiosa dijangkiti COVID-19

Penumpang diuji positif ditinggalkan di Genoa, Itali

ROM, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Kira-kira 45 penumpang kapal persiaran MSC Grandiosa diturunkan di pelabuhan Genoa selepas dijangkiti COVID-19.

Pengendali kapal terbabit, MSC Cruises bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar individu dijangkiti COVID-19 namun sehingga kini sejumlah besar penumpang masih kekal di atas kapal berkenaan.

Media sebelum ini mendakwa kapal persiaran berkenaan membawa antara 120 hingga 150 orang dijangkiti COVID-19 yang tiba di Genoa dari pelabuhan di Marseille, Perancis.

“Kami hanya menurunkan 45 penumpang yang positif COVID-19 di Genoa,” kata jurucakap syarikat terbabit.

Jurucakap syarikat berkata, bilangan penumpang lain yang diuji positif akan diturunkan namun kini masih berada di dalam kapal menunggu masa yang sesuai.

“Kebanyakan penumpang dilaporkan tidak bergejala dan kontak rapat diasingkan serta-merta di dalam kabin, kesemua diberikan rawatan perubatan,” kata jurucakap berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa pelabuhan di Genoa mengesahkan sejumlah penumpang diturunkan dari kapal persiaran terbabit dengan warga Itali dari utara negara itu dihantar pulang ke rumah.

Manakala, penumpang terdiri daripada warga asing pula dihantar ke kemudahan penjagaan sementara untuk kuarantin.

Kapal persiaran itu kemudian meneruskan perjalanan ke pelabuhan Civitavecchia manakala penumpang yang positif yang tinggal di tengah atau selatan negara ini akan diturunkan serta dihantar pulang untuk kuarantin.

Semua kos pemindahan dan penginapan di pusat rawatan COVID dibayar MSC Cruises. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button