Berita Utama

Boleh didakwa jika guna paku, dawai kokot bungkus makanan

Denda hingga RM100,000 atau penjara tak lebih 10 tahun: Dr Noor Hisham

BANGI, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Peniaga makanan yang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan bahaya seumpamanya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika disabit kesalahan, peniaga boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bahkan, hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan berkenaan ditemukan dalam makanan.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan peniaga makanan supaya tidak menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya pada pembungkusan makanan kerana boleh menyebabkan kecederaan serius sekiranya bahan itu termasuk dalam makanan dan ditelan pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian susulan mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial baru-baru ini, serta pandangan pelbagai pihak yang khuatir akan bahaya trend kaedah pembungkusan tidak selamat itu.

Beliau berkata, di bawah Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada makanan hingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan terbabit.

“Selain itu, di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menyatakan pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.

“Adalah dimaklumkan bahawa hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pada tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 19 sampel (3.5 peratus) dari 546 sampel makanan yang dianalisis didapati telah tercemar dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diambil terhadap pengusahan atau peniaga terlibat.

“Penyedia dan peniaga makanan juga diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.

“Penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku kerana sekian lama ini, sudah terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya serta lain-lain isu berkaitan keselamatan makanan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button