Berita Utama

Dong Zong gesa kerajaan percepat salur peruntukan pendidikan

Syor tubuh jawatankuasa bebas selia penggunaan kuasa awam oleh KPM

BANGI, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Tatkala rakyat berdepan krisis banjir dan ancaman varian Omicron, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong menggesa kerajaan mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada sektor pendidikan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Bahkan, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim turut meminta kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) susulan sesi persekolahan baru akan bermula pada bulan Mac ini.

Katanya, ia perlu dilakukan agar setiap sekolah mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran seperti membayar bil air dan elektrik, menaik taraf serta menyelenggara kemudahan sekolah.

Selain kerja pembasmian kuman dan memastikan urusan pentadbiran serta pendidikan di SJKC berjalan dengan lancar, katanya.

Tai Kim berkata, Dong Zong juga kurang jelas berhubung peruntukan pendidikan yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 dan memohon agar kerajaan memberikan perincian.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sampai ke hari ini belum memberikan apa-apa penjelasan berhubung perkara itu.

“Walaupun peruntukan untuk pembangunan pendidikan dalam belanjawan telah bertambah dengan banyak sekali, tetapi belanjawan tersebut bukan sahaja tidak menyebut tentang sekolah mubaligh dan SMJK, bahkan tidak juga menyebut peruntukan untuk pembinaan SJKC baru dan pembinaan sekolah baru untuk SJKC yang dipindahkan ke kawasan lain.

“Sama ada SMPC dan tiga IPTS kendalian masyarakat Cina akan mendapat peruntukan dan adakah kerajaan akan membiayai perbelanjaan bil elektrik, air dan penyelenggaraan kumbahan di SJKC juga menjadi tanda tanya.

“Kami berpendapat, kerajaan sepatutnya memasukkan sekali peruntukkan kepada sekolah-sekolah dan IPTS ini dalam belanjawan,” katanya seperti dilapor Oriental Daily pada Jumaat lepas.

Di samping itu, Tai Kim berkata, Dong Zong telah meningkatkan komunikasi dan kerjasama dengan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) untuk memastikan kelancaran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) 2021.

Dong Zong berterima kasih kepada semua SMPC, ibu bapa dan pelajar-pelajar yang memberi kerjasama.

Dilaporkan, pada masa ini, proses penyemakan dan pemarkahan UEC sedang berjalan dan selepas keputusannya diumumkan, lepasan SMPC boleh memohon untuk meneruskan pelajaran di IPT dalam dan luar negara.

“Pandemik yang melanda ini juga menyebabkan SMPC menanggung beban yang berat, ada yang terpaksa menggunakan wang simpanan dan 25 peratus dari pelajar SMPC di seluruh negara tidak mampu membayar yuran pengajian SMPC.

“Hanya setelah bantuan dihulurkan oleh pelbagai pihak barulah beban yang ditanggung oleh SMPC dan para pelajar berkurangan. Diharap ekonomi negara akan pulih dan kutipan sumbangan untuk SMPC dapat dipertingkatkan,” katanya.

Pada masa sama, Tai Kim berkata, Dong Zong berharap, kerajaan akan mengamalkan prinsip kesamarataan dalam pendidikan dengan menginstitusikan peruntukan bagi pembinaan dan penambahan sekolah vernakular.

Katanya, kerajaan juga patut menubuhkan jawatankuasa bebas penyelia pendidikan bagi menyelia penggunaan kuasa awam oleh KPM untuk memastikan pentadbiran yang cemerlang dan kemajuan sekolah vernakular.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button