Dunia

Rekod 3 kes baharu, China ‘kurung’ penduduk Yuzhou

1.7 juta orang tak dibenar keluar rumah untuk kekang COVID-19

BEIJING, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Lebih sejuta penduduk di bandar China diarahkan berkurung di rumah selepas negara itu merekodkan tiga kes jangkitan COVID-19 tanpa gejala berkuat kuasa mulai hari ini.

Sebelum ini, Beijing menjalankan pendekatan ‘sifar COVID-19’ dengan sekatan sempadan yang ketat dan penutupan bersasar sejak virus muncul.

Yuzhou, sebuah bandar dengan populasi kira-kira 1.7 juta penduduk di wilayah Henan, mengumumkan perintah berkurung ke atas semua rakyat mulai tengah malam tadi, sebagai langkah mengawal penularan wabak itu.

Pengumuman perintah itu dibuat selepas tiga kes baharu dikesan dalam beberapa hari lalu.

Perintah itu mengarahkan orang ramai supaya tidak keluar dari rumah dan semua komuniti perlu menubuhkan pengawal serta pintu pagar untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan wabak secara ketat.

Bandar itu turut mengumumkan keputusan menghentikan perkhidmatan bas dan teksi serta menutup pusat membeli-belah, muzium termasuk kawasan tumpuan pelancong.

China melaporkan 175 lagi kes COVID-19 baharu pada Selasa, termasuk lima di wilayah Henan dan lapan lagi dalam kluster berasingan yang dikaitkan dengan kilang pakaian di bandar Ningbo.

Walaupun kes yang dilaporkan rendah berbanding negara lain, jangkitan baharu dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah mencecah angka tertinggi sejak Mac 2020.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button