Berita Utama

Tiga ahli BN gagal cabar UMNO tidak tanding dua jawatan

Mahkamah tiada bidang kuasa dengar permohonan babit parti politik

KUALA LUMPUR, 13 Safar 1445H, Rabu – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan tiga ahli Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meluluskan usul tambahan UMNO mengenai dua jawatan utama tidak dipertandingkan pada pemilihan majlis tertinggi parti itu.

Usul tambahan itu bagi kedua-dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan tiga individu itu atas alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan yang melibatkan parti politik seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Hakim itu juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff mewakili tiga individu berkenaan manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Saifuddin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pada 15 Mei lepas, ahli UMNO cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC cawangan Lembah Pantai P. Vellasamy memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Selain Saifuddin, mereka turut menamakan kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO sebagai responden.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa pada 13 Jan lepas, suatu usul tambahan UMNO telah dicadangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

Mereka berkata pada 2 Mac lepas, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

Ketiga-tiga pemohon itu berkata dalam surat tersebut RoS mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, oleh itu ia tidak sah. 

Menurut mereka, RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu.

Bagaimanapun, mereka berkata pada 7 Mac lepas, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan bahawa kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button