Berita Utama

‘Sekolah Cina mahu ikut telunjuk dia sahaja’: PPPPPM

Terus berada dalam ‘tembok tebal’ untuk bersama kelompok mereka

Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – “Sekolah Cina ini bukan sahaja bermasalah tetapi mahu ikut kehendak telunjuk dia sahaja tanpa mempedulikan pihak lain”.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin.

Beliau menyifatkan, sekolah tersebut berada dalam ‘tembok tebal’ untuk terus kekal bersama kelompok mereka sahaja.

Malah, dakwanya lagi, kepimpinan sekolah juga dilihat mengamalkan sikap perkauman dan sukar untuk bertoleransi.

“Perkara tersebut terbukti apabila usaha kerajaan (melalui) Sekolah Wawasan dicetuskan bagi menghimpunkan semua pelajar di bawah satu bumbung.

“Namun jangka hayat Sekolah Wawasan itu tidak panjang berikutan golongan tersebut sendiri bermasalah dan berkeras untuk kekal dalam kelompok mereka sahaja.

“(Ini) terbukti apabila mereka tetap membuat perhimpunan asing walaupun perhimpunan rasmi yang menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja.

“Mereka kekal dengan pendirian dan berkeras mengadakan perhimpunan yang asing pada hari tertentu dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan sekolah Cina ‘bermasalah’.

Lebih mengecewakan lagi, Abdul Raouf mendakwa, sekolah Cina pernah membuat pengambilan guru sementara daripada kaum tersebut untuk mengajar bahasa Melayu semata-mata tidak mahu membenarkan guru bangsa lain mengajar di sekolah mereka.

“Mereka sanggup membuat pengambilan secara walk in kepada golongan mereka sahaja yang mempunyai latar belakang pendidikan di sekolah Cina sahaja,” katanya.

Malah, dakwanya lagi, ada di antara guru besar di sekolah Cina dipindahkan berikutan tidak mempunyai latar belakang pendidikan sekolah Cina.

“Perkara ini berlaku pada 1999 apabila seorang guru besar yang berbangsa Cina mengajar itu tidak mempunyai latar belakang pendidikan Cina.

“Ini jelas membuktikan mereka terlalu mengamalkan perkauman sehingga tidak membuka peluang kepada orang lain, sedangkan mereka tinggal dengan pelbagai kaum di negara ini,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button