Dunia

313 rakyat Palestin dibunuh kejam pengganas Israel tahun 2021

Rejim haram guna dasar tembakan rambang, bom kawasan padat penduduk

RAMALLAH, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Pasukan penjajah Israel membunuh 313 rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, termasuk 71 kanak-kanak sepanjang tahun 2021.

Menurut laporan kumpulan hak asasi Israel, B’Tselem, 236 rakyat Palestin yang dibunuh di Semenanjung Gaza kebanyakannya ketika serangan rejim antara 11 dan 21 Mei 2021, selain 77 lagi di Tebing Barat termasuk di Baitulmaqdis Timur.

Laporan itu mendakwa, tiga lagi rakyat Palestin dibunuh sama ada angkara pendatang haram bersenjata atau tentera yang mengiringi puak penjajah.

Katanya, seorang lagi warga Palestin bawah umur turut ditembak mati oleh orang awam Israel dan pegawai polis sempadan serta dua yang lain menjadi mangsa kepada penjajah bersenjata.

Human Right Watch yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa ketika pertempuran Mei, serangan tentera pengganas Israel membunuh 260 rakyat Palestin, termasuk 66 daripadanya adalah kanak-kanak.

Di Tebing Barat, B’Tselem mendakwa bahawa 32 rakyat Palestin dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel, termasuk sembilan kanak-kanak ketika demontrasi penduduk.

“Antara mereka adalah Islam Dar Nasser, 16, dan Muhammad Tamimi, 17, yang ditembak tentera Israel dari belakang,” kata laporan.

B’Tselem mendakwa bahawa 14 Mei 2021 sebagai ‘hari maut’ di Tebing Barat sejak 2002, apabila 13 rakyat Palestin terbunuh oleh pendatang haram bersenjata serta askar Israel yang mengiringi mereka.

Kumpulan hak asasi Israel itu mendakwa, bahawa pihaknya menyiasat 336 insiden keganasan penjajah pada 2021, berbanding 251 pada tahun sebelumnya.

“Insiden ini menjelaskan bahawa keganasan penjajah bukanlah inisiatif peribadi tetapi satu lagi alat yang kurang formal, yang digunakan oleh rejim apartheid Israel untuk mengambil alih lebih banyak tanah Palestin.

“Dasar tembakan rambang Israel yang menyebabkan kematian, menyalahi undang-undang sehingga mengakibatkan ratusan rakyat Palestin meninggal dunia tahun lalu.

“Manakala, kira-kira 70 peratus terbunuh di Semenanjung Gaza apabila dasar jenayah mengebom kawasan padat penduduk dilaksanakan Israel,” katab B’Tselem.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button