Berita Utama

58 kes baharu penyakit berjangkit dikesan di kalangan mangsa banjir

32 alami jangkitan ARI, 20 terkena penyakit kulit

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Sebanyak 58 lagi kes baharu penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di seluruh negara, kata Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 32 adalah jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 20 adalah penyakit kulit manakala enam adalah kes jangkitan akut gastroenteritis (AGE).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif penyakit berjangkit yang ditemui dalam kalangan mangsa banjir kepada 2,270,” kata Dr Noor Hisham.

Tiada kes baharu COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu sehingga jam 3 petang hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini, jumlah kes COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 465, dengan 15 daripadanya ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pada masa ini, terdapat 11,355 mangsa banjir di seluruh negara di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

Terdapat 147 PPS yang masih beroperasi di enam negeri.

Pada hari Rabu, Malaysia merekodkan 3,270 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kepada 2,773,156.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button