Berita UtamaDunia

40,000 kanak-kanak dari 60 negara hidup sengsara

Dua kanak-kanak maut setiap minggu di kem 'keluarga kumpulan pengganas' Syria

DAMASCUS, 17 Safar 1443H, Jumaat – Rata-rata dua kanak-kanak maut setiap minggu di sebuah kem di timur laut Syria – disyaki ahli keluarga kumpulan pengganas, kata Save the Children.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan semalam, sejumlah 40,000 kanak-kanak dari 60 negara berbeza hidup dalam keadaan mendukacitakan di kem al-Hol dan Roj.

Menurut Save the Children, 163 orang maut di kem al-Hol antara Januari dan pertengahan Ogos tahun ini, dengan 62 daripadanya adalah kanak-kanak.

Katanya, 73 orang telah dibunuh, termasuk tiga kanak-kanak yang mati ditembak.

Walaupun kem itu didirikan untuk menampung keluarga individu yang ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas, ia juga menempatkan pelarian yang melarikan diri dari pertempuran dan pendudukan IS.

“Apa yang kami lihat di sini adalah kerajaan hanya meninggalkan kanak-kanak yang pertama dan paling utama menjadi mangsa konflik,” kata Pengarah Respons Save the Children Syria, Sonia Khush.

Beliau berkata, 83 peratus operasi penghantaran pulang sejauh ini dilakukan ke Uzbekistan, Kosovo, Kazakhstan, dan Rusia.

Walaupun 1,163 kanak-kanak telah dihantar pulang sejak 2017, hanya 14 penghantaran pulang yang berlaku tahun ini, kata laporan itu.

“Save the Children menuntut agar semua kerajaan dengan warganegara di kem mengambil tanggungjawab dan membawa kanak-kanak serta keluarga mereka pulang.

“Setiap hari kanak-kanak warga asing dan keluarga mereka digagalkan oleh kerajaan mereka, setiap hari mereka tidak diberi kesempatan untuk kembali ke rumah.

“Mereka dinafikan layanan khusus yang amat mereka perlukan serta hak untuk hidup dalam keadaan selamat,” kata badan amal itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button