Berita Utama

Johor kurangkan penjarakan solat jemaah di masjid, surau

Solat hajat dilaksana setiap hari selepas Maghrib doakan kesejahteraan

JOHOR BAHRU, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dilaksanakan dengan penjarakan antara jemaah hanya setengah meter berbanding satu meter, sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, perubahan itu berkuat kuasa bermula 7 Januari (Jumaat) hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Selain itu, turut dipersetujui adalah solat hajat dilaksanakan selepas solat Maghrib setiap hari dan selepas solat Jumaat setiap minggu di semua masjid serta surau negeri ini.

“Ia untuk memohon kesejahteraan buat negeri dan negara daripada segala musibah dan wabak penyakit.

“Bacaan qunut Nazilah hendaklah dibaca dalam solat Jumaat setiap minggu di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di samping itu, Tosrin berkata, program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah serta ceramah agama ditambah tempoh masanya dari hanya satu jam kepada dua jam.

“Marilah kita bersatu hati merafakkan dan semoga wabak COVID-19 ini segera berakhir di negara Malaysia amnya dan negeri Johor khususnya dengan cara bermunajat kepada Allah SWT, mendirikan solat secara berjemaah, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, berselawat ke atas Rasulullah SAW dan amalan-amalan kebaikan yang lain. 

“Semoga kita beroleh perlindungan Allah SWT daripada segala wabak dan bencana,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button