Berita Utama

NGO-kerajaan mesti sepakat laksana strategi perkasa tanah rizab Melayu

Perlu ilmu, data lengkap bukan sekadar tubuh jaringan semata-mata

BANGI, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Semua pihak termasuk kerajaan perlu bersepakat melaksanakan strategi memartabat dan menjaga tanah rizab Melayu di seluruh pelosok negara.

Isu memartabatkan tanah rizab Melayu bukan sekadar membentuk pasukan dan menubuhkan jaringan semata-mata, sebaliknya strategi serta sinergi berkenaan perlu mantap dengan ilmu pengetahuan mengenai tanah, data dan maklumat lengkap.

Justeru, kesatuan semua pertubuhan yang mempunyai tujuan sama adalah satu kemestian, selain peranan kerajaan menyantuni dan menyambut seruan untuk memajukan tanah rizab Melayu dengan sikap terbuka.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof Ismail Omar berkata, isu tanah rizab Melayu menjadi perjuangan banyak NGO di negara ini, termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

“Dalam soal ini, perbincangan positif antara MPM dengan PERTAMA bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) tidak lama dahulu memberi pencerahan baik.

“Perbincangan harmoni itu, membuahkan banyak tindakan ampuh dengan strategi utuh untuk memperkasa tanah rizab Melayu di negara ini,” katanya dalam tulisan di Berita Harian, hari ini.

Prof Ismail berkata, hasil perbincangan itu, kerajaan mengisytiharkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030, mengambil kira usaha memperkasa tanah rizab Melayu dan tanah wakaf.

Katanya, antara perancangan itu termasuk cadangan menubuhkan Unit Data Tanah Rizab Melayu, badan amanah untuk membeli tanah terbiar bagi dimajukan, pembiayaan dan pendanaan untuk memajukan tanah rizab Melayu serta mengharmonikan perundangan berkaitan.

“Cadangan dikemukakan PERTAMA bagi memajukan tanah rizab Melayu adalah kerajaan melalui TERAJU di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan sokongan Majlis Tanah Negara menubuhkan Jawatankuasa Khas Tanah Rizab Melayu dianggotai wakil kerajaan negeri dan pakar tanah dalam dan luar negara.

“Seterusnya membentuk Pelan Induk Tanah Rizab Melayu yang mengambil kira semua isu berkaitan dan pelbagai cara penyelesaian terbaik,” katanya.

Beliau berkata, koordinasi itu memperkasa usaha ke arah memajukan tanah rizab dan pegangan Melayu di seluruh negara, kerana kesatuan fikiran memantapkan peranan, strategi serta tindakan diambil.

“Menurut pendekatan moden hari ini, pengurusan bukan lagi sekadar arahan semata-mata, sebaliknya koordinasi dan penyelarasan mengharmonikan.

“Apabila NGO bersatu untuk mencapai matlamat sama memelihara, memaju dan mengurus tanah rizab Melayu di seluruh negara, kerajaan juga menghulur tangan memberi bantuan diperlukan.

“Seterusnya, kejayaan berkenaan dapat diguna untuk memajukan tanah lain seperti tanah adat, wakaf dan tanah natif, sekali gus menjadikan cara serta gaya pembangunan tanah berkenaan boleh dijadikan contoh untuk memajukan tanah yang mempunyai halangan serupa pula di luar negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button