Berita Utama

Penangguhan ibadah umrah wajar dari sudut fiqah: Pakar

Khususnya dalam kekang penularan COVID-19 varian Omicron

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Keputusan kerajaan menangguhkan perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan ini adalah wajar dari sudut fiqah, khususnya dalam mengekang penularan COVID-19 varian Omicron.

Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Shahir Akram Hassan berkata kerajaan boleh membuat keputusan seperti itu dengan mengambil kira kemudaratan bakal dihadapi semasa mengerjakan umrah dan risiko selepas kembali ke tanah air meskipun ada pihak mempertikaikannya kerana Arab Saudi tidak mengambil tindakan sedemikian.

“Dari sudut fiqah, kerajaan boleh menghalang (perjalanan umrah) walaupun ada yang mempertikaikan sekiranya Arab Saudi tidak bertindak sedemikian. Pada masa ini, kerajaan ambil kira (kemudaratan) dan buat keputusan ini.

“Selain itu, dalam menunaikan ibadah umrah ini, jemaah seharusnya berpegang kepada konsep takdir dan rezeki…kalau ia belum sampai, ia tidak akan sampai. Pada masa sama, kita mahu rapat dengan Allah, sama ada bukan di Mekah atau Madinah, Insya Allah kita sudah dapat taqwa Allah SWT di Malaysia dengan kita reda dan mungkin ambil inisiatif untuk bantu mangsa banjir ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berkongsi pendapat sama, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis menyokong usaha tersebut dengan melihat kepada fahaman mazhab Shafie yang menjadi ikutan di Malaysia berkenaan keperluan menunaikan ibadah umrah.

“Memang mazhab Shafie mengatakan umrah itu wajib, tapi wajib sekali seumur hidup. Namun, ia boleh ditangguhkan dan tidak perlu serta-merta. Percayalah, Allah SWT mengetahui niat dan kesungguhan kita yang dah belanjakan duit tiket, hotel dan sebagainya walaupun mungkin kita tidak dapat ke sana,” katanya.

Menurut Nik Rahim, banyak dalil yang boleh diutarakan berkenaan larangan Allah SWT kepada hambaNya untuk memudaratkan diri sendiri seperti sepotong ayat Al-Quran yang melarang kita mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

Berasaskan maqasid syariah yang mewajibkan umat Islam memelihara nyawa, Nik Rahim berkata, penangguhan tersebut wajar dibuat kerana mengikut kes sebelum ini, wujud kemungkinan tinggi bakal jemaah dijangkiti sekiranya menjalani umrah ketika ini.

“Jadi kalau kita ke sana juga, maka kita telah melanggar perintah tersebut,” katanya.

Sementara itu pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman menyifatkan usaha menangguhkan sementara perjalanan berkenaan sebagai tepat pada masanya memandangkan langkah pencegahan Omicron perlu dilaksana secepat mungkin.

Dr Malina berkata ini terutama apabila penularan Omicron di peringkat global menunjukkan pola peningkatan mendadak dan beliau bimbang trend sama berlaku di Malaysia.

“Sebab berdasarkan pengalaman, penularan jangkitan Omicron lebih pantas berbanding Delta, jadi keputusan kerajaan adalah perkara yang dialu-alukan di negara kita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil ringan terhadap jangkitan Omicron kerana varian itu turut memberi kesan mudarat yang sama seperti Delta.

“…terutamanya mereka yang berada di usia kelompok 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit komorbiditi. Mereka yang berisiko boleh mendapat komplikasi serius,” katanya.

Dr Amalina turut menyarankan agar para jemaah umrah atau pelancong diberi keutamaan mendapat suntikan dos penggalak kerana individu yang diberi dos itu kurang berisiko menerima dan menyebarkan virus COVID-19 tanpa mengira jenis varian berbanding mereka tidak divaksinasi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button