Berita Utama

Azam Baki perlu ‘gentleman’ untuk disiasat: PEMBELA

Syor letak jawatan, bercuti hingga isu skandal integriti selesai

BANGI, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan supaya Tan Sri Azam Baki meletak jawatan atau sekurang-kurangnya bercuti sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga isu skandal integriti mengaitkannya selesai.

Sebelum ini, dakwaan konflik kepentingan tercetus membabitkan Azam yang dikatakan memiliki saham syarikat awam.

Perkembangan itu susulan dakwaan bekas Ahli Panel SPRM, Edmund Terence Gomez mengenai suruhanjaya itu yang ingin menutup dakwaan salah laku Azam dan menuduh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Borhan Dolah tidak menyiasat isu itu secara telus.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya melihat kes itu sebagai sangat serius kerana membuatkan kepercayaan rakyat semakin hilang terhadap SPRM.

Beliau berkata, defisit kepercayaan terhadap SPRM bukannya baru berlaku, tetapi hasil daripada pelbagai siri-siri skandal dalaman suruhanjaya itu.

“Pihak PEMBELA tidak pernah lupa bagaimana SPRM memandang sepi laporan-laporan yang PEMBELA lakukan dalam kes pencerobohan tanah khususnya di negeri Pahang (durian Musang King Raub) walaupun pelbagai bukti yang terbongkar seperti sudah terang lagi bersuluh.

“Pihak polis dan pihak berwajib lain seperti Jawatankuasa Khas Parlimen perlu diberikan laluan untuk melakukan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap kes membabitkan Azam serta kes-kes lain yang melibatkan SPRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menyarankan supaya Azam berani dan ‘gentleman’ untuk tampil ke hadapan serta disiasat secara telus jika beliau berada di pihak yang benar.

“Tan Sri Azam tidak perlu bimbang terhadap siasatan oleh pihak berkuasa jika beliau berada di pihak yang benar.

“PEMBELA tidak akan berkompromi dengan segala masalah integriti terutamanya yang melibatkan badan penguat kuasa seperti SPRM,” katanya.

Bagaimanapun, Abu Zahar dalam sidang media khas semalam memaklumkan bahawa tiada elemen konflik kepentingan berhubung pembelian saham syarikat oleh Azam seperti yang didakwa.

Katanya, saham yang didakwa oleh Gomez itu adalah tidak benar dan hakikatnya ia adalah kepunyaan Nasir Baki, iaitu adik Azam.

Azam dalam pertemuan diadakan pada 24 November menjelaskan saham berkenaan dibeli oleh adiknya pada tahun 2015 menggunakan namanya dan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam pemilikan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button