Berita Utama

Azam Baki perlu lepaskan jawatan sekiranya berintegriti

Apa perlu takut sekiranya berada di pihak yang benar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diminta untuk melepaskan jawatan berhubung skandal yang terpalit dengan dirinya.

Gesaan itu disuarakan oleh Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, sebagai individu berintegriti dan bertanggungjawab menjaga maruah SPRM, Azam perlu berbuat sedemikian secepat mungkin.

“Kalau dia hargai maruah SPRM, maka dia akan meletak jawatan segera secara terhormat, apa perlu bimbang dan takut sekiranya berada di pihak yang benar.

“Rakyat kini menilai Azam Baki tidak layak memegang jawatan kerana tidak menghargai maruah SPRM sebaliknya lebih pentingkan diri, jawatan yang dimiliki dan kepentingan peribadi sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, BERJASA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertindak dan tidak hanya berdiam diri sahaja.

“Pelbagai andaian akan timbul kepada Perdana Menteri dan kerajaan dan di sinilah peranan beliau menyelesaikan (masalah) secara bijaksana.

“Biarkan negara ditadbir oleh individu yang berwibawa dan bukannya yang mempunyai masalah,” tegas beliau.

Sebelum ini, dakwaan konflik kepentingan tercetus membabitkan Azam yang dikatakan memiliki saham syarikat awam.

Perkembangan itu susulan dakwaan bekas Ahli Panel SPRM, Edmund Terence Gomez mengenai suruhanjaya itu yang ingin menutup dakwaan salah laku Azam dan menuduh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Borhan Dolah tidak menyiasat isu itu secara telus.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button