Berita Utama

Balak didominasi VIP, pihak berkuasa terpaksa tutup mulut

Ada pihak ambil kesempatan kelemahan proses pemantauan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Kelompongan dalam sistem pemantauan dan pengurusan balak oleh pihak berkuasa, dikenal pasti sebagai punca berlakunya aktiviti pembalakan secara haram di negara ini.

Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ada pihak mengambil kesempatan di atas kelemahan melibatkan proses pemantauan menyebabkan aktiviti secara haram terus berleluasa.

“Kita dapat maklumat pembalak-pembalak kini sewenangnya melakukan aktiviti berkenaan melebihi daripada kawasan yang ditetapkan termasuk di tepi dan di luar kawasan yang dibenarkan.

“Keadaan ini semua berlaku akibat tiada pemantauan daripada pihak yang berkuasa menyebabkan pembalak rakus melakukan aktiviti demi mengaut keuntungan semata-mata.

“Sepatutnya pembalak hanya boleh mengambil kawasan seluas 80 ekar sahaja namun disebabkan tiada pemantauan yang tegas mereka mampu melakukan sehingga 100 ekar, jadi siapa tahu aktiviti yang mereka dibuat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Katanya sikap tamak itu hanya menguntungkan pihak pembalak sedangkan keadaan tersebut membuka peluang kepada berlakunya bencana seperti yang berlaku baru-baru ini.

Lebih mengecewakan aktiviti tersebut didominasikan oleh pihak tertentu termasuk VIP sekali gus menyebabkan pihak berkuasa terpaksa tutup mulut.

Justeru, katanya, sudah tiba masa Dasar Perhutanan Negara yang digubal pada tahun 1977 diperkemas sesuai dengan situasi semasa yang terdedah kepada ancaman pembalakan serta penerokaan haram.

Pindahan berkenaan bukan sahaja mampu mengawal aktiviti pembalakan haram sebaliknya mengenal pasti aktiviti yang didominasikan oleh pihak tertentu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button