Berita Utama

I-Citra: Generasi muda bakal berdepan kesan jangka panjang

Kerajaan patut ada perancangan penjanaan persaraan kepada rakyat

BANGI, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Generasi muda bakal berdepan kesan jangka panjang daripada segi ekonomi dan sosial sekiranya pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan sekali lagi.

Perkara itu disuarakan Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad yang menyifatkan KWSP tidak sepatutnya dijadikan seperti bank oleh kerajaan.

“Sepatutnya kerajaan memiliki perancangan penjanaan persaraan yang baik untuk rakyat Malaysia sebagai salah satu persediaan menghadapi ‘ageing population’ kelak.

“Atas sebab itu, saya secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan dan desakan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan KWSP mereka.

“Sebaliknya, kerajaan sepatutnya tidak kedekut untuk membelanjakan wang tunai kepada rakyat dengan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat, salurkan kepada yang benar-benar memerlukan khususnya yang terkesan COVID-19 dan bencana banjir baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, kerajaan mempunyai rizab wang yang stabil mengikut laporan Bank Negara dan boleh menggunakannya untuk pemberian tunai kepada rakyat.

Beliau berkata, lebihan wang tunai di tangan rakyat itu boleh menyuntik kembali putaran ekonomi lokal dan seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau dalam masa sama menyifatkan cadangan supaya rakyat membuat hutang atau pinjaman bank juga adalah satu cadangan yang tidak realistik.

Biarpun pihak institusi kewangan menawarkan moratorium tanpa mengenakan sebarang faedah.

“Apakah nasib sekiranya peminjam gagal membayar balik hutang pinjaman itu? Sudah tentu natijah satu lagi masalah sosial yang teruk,” soal beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button