Berita Utama

Isu Azam Baki: Pemuda PAS gesa siasatan bebas, terbuka

Saran KP SPRM direhatkan sehingga siasatan selesai, nama bersih

BANGI, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan khususnya pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil langkah segera dan mengadakan siasatan bebas serta terbuka terhadap dakwaan skandal integriti membabitkan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya mengikut rapat isu membabitkan tuduhan-tuduhan terhadap SPRM serta pegawai tertingginya, yang dilihat boleh menjejaskan kredibiliti dan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah serta usaha memperkukuhkan integriti.

Beliau percaya perkara itu perlu diambil serius oleh kerajaan bagi menangkis persepsi buruk kepada pemerintahan dan negara, selain memastikan integriti terus terpelihara.

“Pemuda PAS juga dengan penuh hormat menyarankan supaya semua yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM yang terbabit dalam isu tersebut direhatkan sehingga siasatan selesai dan nama mereka yang terbabit dibersihkan.

“Ini bagi memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Semoga Malaysia sentiasa dipelihara Allah SWT dan kedaulatan undang-undang terus ditegakkan dengan amanah dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, dakwaan konflik kepentingan tercetus membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dikatakan memiliki saham syarikat awam.

Perkembangan itu susulan dakwaan bekas Ahli Panel SPRM, Edmund Terence Gomez mengenai suruhanjaya itu yang ingin menutup dakwaan salah laku Azam dan menuduh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Borhan Dolah tidak menyiasat isu itu secara telus.

Bagaimanapun, Abu Zahar dalam sidang media khas semalam memaklumkan bahawa tiada elemen konflik kepentingan berhubung pembelian saham syarikat oleh Azam seperti yang didakwa.

Katanya, saham yang didakwa oleh Gomez itu adalah tidak benar dan hakikatnya ia adalah kepunyaan Nasir Baki, iaitu adik Azam.

Azam dalam pertemuan diadakan pada 24 November menjelaskan saham berkenaan dibeli oleh adiknya pada tahun 2015 menggunakan namanya dan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam pemilikan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button