Berita Utama

Johor luluskan pindaan calon 18 tahun bertanding pilihan raya

Diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga

ISKANDAR PUTERI, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Cadangan pindaan had umur terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 itu, yang dikemukakan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan disokong ADUN Semarang Datuk Samsolbari Jamali, diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.

“Bahawa dengan ini diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut: Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021.

“Dan Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta,” kata Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Pindaan rang undang-undang itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Ketika membentangkan usul pindaan tersebut, Hasni berkata pindaan itu merupakan satu daripada pelbagai inisiatif berterusan kerajaan negeri melibatkan pemberdayaan orang muda Johor.

“Diharapkan agar pindaan yang dilakukan ini dapat memberikan kemeriahan dan keterujaan dalam pentas demokrasi negara dan negeri Johor khususnya.

“Semoga pentas demokrasi kita tidak dipenuhi dengan permainan persepsi semata-mata, tetapi disemarakkan dengan budaya perdebatan idea yang matang lagi membina untuk kebaikan semua pihak,” kata Hasni, yang merupakan ADUN Benut.

Turut membahaskan pindaan ke atas enakmen tersebut ialah dua ADUN kerajaan iaitu ADUN Panti Hahasrin Hashim dan ADUN Tenggaroh K. Raven Kumar dan dua pembahas pembangkang, ADUN Pulai Sebatang Mohammad Taqiuddin Cheman dan ADUN Stulang Andrew Chen Kah Eng.

Speaker DUN Johor kemudiannya memaklumkan persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan.

Dengan perkembangan terkini, Johor menjadi negeri terbaharu mengikut jejak beberapa negeri termasuk Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai ADUN pada pilihan raya umum akan datang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button