Berita Utama

Kes 1MDB: Saksi demam, perbicaraan ditangguh hingga pukul 2.30 petang

Hakim arah pasukan pendakwaan kemukakan saksi untuk keterangan pada sebelah petang

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Hakim yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengarahkan pasukan pendakwaan mengemukakan seorang saksi untuk memberi keterangan pada sebelah petang, selepas mahkamah diberitahu bahawa saksi pendakwaan ke-12 yang sepatutnya meneruskan sesi pemeriksaan balas hari ini demam.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan arahan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, 49, telah menghantar pesanan kepadanya pada pukul 8.30 pagi ini untuk memaklumkan bahawa beliau tidak dapat memberi keterangan hari ini kerana mendapat cuti sakit.

Ahmad Akram berkata beliau kemudiannya meminta saksi berkenaan untuk datang dan menjelaskan sendiri mengenai perkara itu kepada mahkamah.

“Yang Arif, beliau ada datang ke mahkamah, tapi matanya merah dan suhu badannya panas,” katanya.

Hakim Sequerah: “Saksi demam?”

Ahmad Akram: “Ya, tapi bukan COVID-19, namun dia nampak lemah,”

“Yang Arif, saya cuba hubungi saksi yang lain seperti Datuk Johan Idris, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, Tan Sri Ismee Ismail, Lim Poh Seng serta Goh Gaik Kim bagi menggantikan Azmi untuk memberi keterangan.

“Johan kini berada London, Wan Ahmad Shihab menghadapi masalah diarea sejak tiga hari lepas, Ismee sedang menjalani kuarantin kendiri kerana baru pulang dari mengerjakan umrah, Lim akan menerima dos penggalak vaksin hari ini, manakala Goh terpaksa menghadiri dua mesyuarat syarikat. Saya cuba minta dia batalkan mesyuaratnya, namun katanya mesyuarat itu penting,” kata Ahmad Akram.

Hakim Sequerah yang menyuarakan penghargaan terhadap usaha pihak pendakwaan bagi mendapatkan saksi berkenaan untuk hadir hari ini di saat-saat akhir, bagaimanapun meminta pihak pendakwaan cuba mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada 50 saksi pendakwaan untuk hadir beri keterangan hari ini.

“Perbicaraan akan ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang, dan cuba sedaya upaya untuk dapatkan seorang saksi hadir hari ini. Ada 50 saksi dalam senarai. Perbicaraan akan bersambung pada pukul 2.30 petang,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button