Berita UtamaDunia

Taliban rekrut 150,000 pengebom berani mati jadi pasukan pertahanan?

Diletakkan di unit khas yang boleh lindungi Afghanistan

KABUL, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Taliban akan merekrut pengebom berani mati menjadi sebahagian daripada anggota pasukan pertahanannya dalam usaha membendung ancaman pengganas Daesh.

Langkah itu antara proses mereformasi dan menstruktur kumpulan pengebom berani mati yang berada di seluruh negara ini sebagai unit khas yang boleh melindungi Afghanistan.

Jurucakap Taliban, Bilal Karimi berkata, sasaran utama adalah cabang tempatan Daesh, yang melakukan sekurang-kurangnya lima serangan besar ketika Taliban berusaha mengukuhkan kuasa selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ogos, tahun lalu.

“Pasukan khas termasuk pengebom berani mati tersebut akan terlibat dalam operasi yang lebih mencabar.

“Taliban kini mahu membina struktur ketenteraan yang lebih kuat dan tersusun untuk meningkatkan pertahanan di seluruh negara termasuk di sempadan dengan meletakkan pengebom berani mati,” katanya.

November lalu, Al Jazeera melaporkan kira-kira 150,000 pengebom berani mati akan dilatih bagi menyertai pasukan pertahanan Afghanistan.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahed berkata, usaha merekrut dilaksanakan selepas melakukan operasi pembersihan pasukan tentera bagi menghentikan tindakan mereka berkait dengan kumpulan Daesh.

Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran, pengganas Daesh secara berterusan mencabar dan melakukan serangan yang boleh mendorong kepada peperangan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button