Berita Utama

Rakyat perlu bersedia, harga ayam dijangka naik bulan depan

Kenaikan disebabkan kos operasi, harga dedak import

JASIN, 4 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Rakyat perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan, selepas tamat kempen Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Perkara itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau menjelaskan, kenaikan tersebut perlu dilakukan berikutan golongan penternak terbeban dengan pelbagai kos operasi dan harga dedak import.

Bagaimanapun katanya, kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna sekali gus akan mewujudkan situasi menang-menang.

“KPDNHEP akan mencari mekanisme terbaik termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menstabilkan harga di peringkat peruncit serta pemborong.

“Sekarang paras harga siling ayam sehingga 4 Februari adalah RM9.10 sekilogram di peringkat peruncit, jadi semalam kita bincang sebab persatuan penternak mengeluh harga ternakan dan kos operasi dikatakan meningkat.

“Sebab itu saya panggil libat urus termasuk MAFI, Agrobank dan Kementerian Kewangan, kita mungkin boleh bantu mereka kurangkan beban kos operasi.” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Katanya, dalam situasi sekarang harga maksimum siling ayam disifatkan rendah dan perlu dipertimbangkan di antara peniaga dan pengguna.

“Selain jaga pengguna, kita juga perlu menjaga peniaga kalau mereka tidak dapat teruskan operasi, mungkin kita tiada bekalan nanti.

“Kita seharusnya sensitif kepada itu dan saya guna peluang untuk merayu kepada semua pengguna untuk sama-sama memahami situasi ini.

“Bila kita sebagai pengguna nak harga murah tapi kalau di peringkat pengeluaran mereka tak dapat keluar bekalan, kita juga akan mengalami masalah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button