Berita Utama

Setiap negeri ada kuota penebangan balak – Takiyuddin

Ditentukan melalui keputusan Majlis Tanah Negara

PUTRAJAYA, 4 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Setiap negeri mempunyai Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi pengusahasilan balak setiap tahun, yang ditentukan melalui keputusan Majlis Tanah Negara (MTN), kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Setiap negeri mempunyai kuota (balak) setiap tahun yang ditentukan melalui keputusan Majlis Tanah Negara dipengerusikan perdana menteri dan ahli-ahlinya, semua menteri besar serta ketua menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa menentukan kuota penebangan balak, sebaliknya kegiatan tersebut dilakukan mengikut perkara yang termaktub di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Takiyuddin berkata, beliau akan menghubungi Mohd Amar bagi mendapatkan pencerahan berhubung kenyataannya itu.

Katanya beliau juga telah menjawab mengenai perkara itu beberapa kali di Parlimen dan mengetahui setiap negeri mempunyai CTT, yang ditetapkan berdasarkan Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan (MC&I) sejak 2012 kerana pernah berada dalam exco Kelantan sebelum ini.

“Oleh itu setiap negeri tidak boleh menebang atau mengeluarkan kayu balak melebihi kuota yang ditetapkan,” katanya.

Takiyuddin menegaskan, kerajaan Malaysia komited di peringkat antarabangsa untuk mengekalkan 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan berhutan menjelang 2040.

“Sekarang ini (keluasan tanah) diliputi kawasan berhutan sekitar 55.3 peratus, oleh sebab itu perlu mengawal tebangan hutan ini kerana jika hutan ditebang ia mengambil masa untuk penghutanan semula yang memerlukan tempoh yang panjang,” katanya. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button