Berita Utama

Enam syarikat telekomunikasi sokong usaha bantuan banjir KKMM

RM25 juta diperuntukkan sokong bantuan banjir, pulihkan perkhidmatan kawasan terjejas

KUALA LUMPUR,4 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Inisiatif Ops Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir baru-baru ini, turut mendapat sokongan enam syarikat telekomunikasi di negara ini.

Enam syarikat telekomunikasi tersebut ialah Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan TIME dotCom Berhad (TIME).

“Menerusi projek itu, syarikat telekomunikasi telah menggerakkan sukarelawan daripada organisasi masing-masing bagi membantu kerja pembersihan dan sokongan lain di kediaman yang terjejas teruk akibat banjir.

“Kawasan yang terlibat adalah Taman Sri Muda (Shah Alam), Bukit Changgung (Sepang) dan Taman Sri Nanding (Hulu Langat) selama lima hari bermula 29 Disember lepas,” menurut kenyataan bersama enam syarikat telekomunikasi tersebut, hari ini.

Dalam pada itu, gabungan enam syarikat telekomunikasi itu turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong rakyat Malaysia di beberapa negeri yang dilanda banjir.

“Secara kolektifnya, industri telah memperuntukkan lebih daripada RM25 juta bagi menyokong usaha bantuan banjir, termasuk memulihkan 99 peratus daripada perkhidmatan dan baik pulih rangkaian mudah alih di semua kawasan yang terjejas banjir.

“Industri juga bertungkus-lumus memulihkan lokasi yang terjejas, termasuklah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menempatkan peralatan dalam memastikan sambungan tersedia,” menurut kenyataan bersama itu.

Pada masa sama, syarikat telekomunikasi juga menghulurkan bantuan kepada anggota mereka yang terkesan menerusi pelbagai bantuan kewangan, sementara rakan-rakan pengedar pula dibantu dengan usaha pembersihan premis mereka.

“Pihak industri akan terus memantau keadaan dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa lain yang relevan, bagi menyokong rakyat Malaysia dalam membantu mereka mendepani tempoh yang sukar ini bersama-sama,” menurut kenyataan tersebut. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button