Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 Australia melebihi negara lain di rantau Asia Pasifik

Perintah kuarantin beri tekanan pada rantaian bekalan

CANBERRA, 4 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Jangkitan harian wabak COVID-19 di Australia kini melonjak ke rekod baharu semalam, sehingga seluruh hospital berada di tahap sesak. 

Bukan itu sahaja, peraturan kuarantin turut menyebabkan berlaku masalah kekurangan tenaga buruh, memberi tekanan kepada perniagaan dan rantaian bekalan.

Dengan kiraan Khamis masih tidak lengkap, Australia setakat ini telah melaporkan 72,392 jangkitan baharu, melebihi paras tertinggi iaitu 64,774 yang ditetapkan sehari sebelumnya. Australia Barat juga dijangka mencatatkan kes baharu.

Perdana Menteri, Scott Morrison, yang menghadapi pilihan raya persekutuan sebelum Mei, kini kelihatan tertekan susulan wabak Omicron apabila negara kekurangan stok ujian antigen dan masa menunggu berjam-jam di pusat ujian.

Sebelum ini, negara itu berjaya mendepani kes COVID-19 melalui sekatan yang agresif di awal penularan wabak.

Namun, Australia kini mengalami kadar jangkitan yang jauh lebih tinggi daripada negara lain di rantau Asia Pasifik, dan beberapa pakar epidemiologi di negara itu meramalkan bahawa yang terburuk masih akan berlaku. 

Untuk mengurangkan tekanan ke atas perniagaan, kerajaan New South Wales (NSW) menggesa firma supaya tidak meminta kakitangan, yang mungkin terdedah kepada virus, untuk menjalani ujian jika mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Mereka tidak sepatutnya mendapatkan ujian,” kata Perdana Menteri NSW, Dominic Perrottet kepada stesen radio 2GB pada hari Khamis.  

Kira-kira 50 peratus pemandu trak dikuarantin kerana protokol COVID-19, meletakkan rantaian bekalan Australia di bawah ‘tekanan yang ketara’, kata kesatuan pekerja pengangkutan pada hari Rabu.

Di tengah-tengah laporan mengenai rak kosong di beberapa pasar raya, Kumpulan Coles memperkenalkan semula had pembelian sementara untuk beberapa produk daging ‘untuk membantu mengurus permintaan bagi barangan runcit utama.’

Saingannya, Woolworths berkata, terdapat kelewatan dalam penghantaran stok tetapi menolak sebarang sekatan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button