Berita Utama

Syor kerajaan tambah had pinjaman tanpa faedah kepada RM25,000

Keluar KWSP tak selesai masalah kewangan, tambah derita pencarum

BANGI, 4 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Ada sebab pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 kali kedua tidak dibenarkan, ia bukan sahaja boleh menambah derita masa depan pencarum, malah gagal menyelesaikan masalah kewangan.

Selain bencana alam, isu jauh lebih besar dan berupaya memusnahkan kehidupan rakyat adalah krisis kemiskinan pada usia persaraan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Halim Husin berkata, lebih 80 peratus pencarum aktif mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

Justeru, membenarkan pengeluaran KWSP tidak membantu golongan Bumiputera kerana walaupun daripada segi bilangan, mereka adalah pencarum KWSP, tetapi nilai tabungan bukanlah kumpulan sasar yang dapat dibantu dengan inisiatif berkenaan.

“Keluar KWSP berkali-kali sebelum tiba waktu matang tentunya akan memberi tekanan untuk melabur secara lebih terancang.

“Sebenarnya memang sudah ada kebijaksanaan kerajaan dan KWSP dalam menguatkuasakan larangan mengeluarkan simpanan sebelum bersara.

“Kita sedia maklum bagaimana KWSP memberikan banyak kelonggaran apabila memecahkan simpanan pencarum kepada tiga akaun untuk memberi fleksibiliti pengeluaran bagi membiayai untuk keperluan mendesak dan asasi tanpa mengganggu simpanan daripada Akaun 1,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, DPMM mencadangkan kerajaan untuk meninggikan had bantuan pinjaman tanpa faedah oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada RM25,000 bagi setiap isi rumah.

Manakala bagi Tekun pula disyorkan menaikkan had bantuan mereka kepada RM15,000 untuk setiap peniaga terkesan oleh musibah banjir.

“DPMM mahu kerajaan tampil lebih berani dalam melaksanakan langkah-langkah pre-emptive yang lebih drastik seperti mewujudkan Skim Pencen Universal serta kajian semula tahap gaji nasional bagi mendepani krisis ekonomi selepas bersara yang dijangka telah pun bermula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button