Dunia

12 polis, berpuluh penunjuk perasaan terbunuh di Kazakhstan

PBB desak kekecohan dihentikan melalui jalan perdamaian

NEW YORK, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu kepada mereka yang terlibat dalam kekecohan di Kazakhstan supaya mengelakkan diri daripada terus melakukan kekacauan dan menyelesaikan permasalahan melalui jalan perdamaian.

Negara berkenaan kini berdepan dengan tunjuk perasaan paling teruk pernah dialami sejak mencapai kemerdekaan dari Soviet Union tiga dekad lalu, dengan dilaporkan berpuluh-puluh orang terbunuh.

“Adalah amat penting untuk menghentikan keganasan. Pembunuhan anggota polis tidak boleh diterima, begitu juga dalam kalangan penunjuk perasaan.

“Adalah jelas untuk semua pihak menghormati hak asasi manusia dan standard antarabangsa ketika melaksanakan sesuatu arahan,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric.

Terdahulu, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev menggelar penunjuk perasaan sebagai ‘pengkhianat’.

Pada Jumaat, Tokayev memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk melepaskan tembakan ketika berdepan dengan penunjuk perasaan antikerajaan.

Tunjuk perasaan tersebut sudah berlangsung sejak 2 Januari lagi susulan daripada kenaikan dua kali ganda harga minyak dan ianya merebak ke seluruh negara dengan cepat.

Jurucakap polis di Almaty berkata, pasukan keselamatan membunuh berpuluh-puluh penunjuk perasaan, dengan 1,000 orang lagi mengalami kecederaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, seramai 12 anggota polis terbunuh ketika tunjuk perasaan berlaku dengan 300 lagi mengalami kecederaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button