Berita Utama

Kementerian digesa jelas insiden jemaah umrah ‘lepas’ ke Arab Saudi tanpa vaksin

Mengejutkan kerana prosedur ketat perlu diikuti sebelum visa boleh dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Kementerian Kesihatan digesa menperjelaskan pendedahan bahawa terdapat beberapa jemaah umrah yang pulang ke tanah air ‘membawa’ varian COVID-19 Omicron, tidak mempunyai sebarang rekod vaksinasi.

Naib Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) bagi Umrah dan Haji, Mohd Azri Abdul Razak berkata, pihaknya terkejut dengan laporan tersebut sedangkan terdapat prosedur ketat yang perlu diikuti oleh jemaah sebelum visa boleh dikeluarkan.

“Di agensi umrah, sebelum boleh dikeluarkan visa, mereka mesti divaksin sepenuhnya dengan vaksin yang telah diluluskan Arab Saudi iaitu Pfizer dan AstraZeneca, manakala penerima Sinovac perlu mendapatkan suntikan booster.

“Untuk pembelian tiket penerbangan, ke Jeddah misalnya, kita mesti mengisytiharkan vaksin yang digunakan oleh jemaah umrah.

“Selain itu, kita perlu memasukkan semua butiran melalui portal dalam talian Muqeem (pendaftaran elektronik vaksin) tidak kurang daripada 72 jam sebelum terbang ke Arab Saudi.

“Semasa daftar masuk, pegawai tiket akan menyemak visa, bersama dengan keputusan ujian COVID-19, sijil vaksin dan cetakan Muqeem sebelum mengeluarkan pas masuk.

“Apabila tiba di Arab Saudi, imigresen juga akan menyemak butiran vaksinasi. Justeru, pendedahan itu amat mengejutkan memandangkan semua syarat ketat yang ditetapkan,” katanya seperti dilapor NST.

Mohd Azri berkata, pihaknya berharap kementerian dapat memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu.

Bukan itu sahaja, kementerian juga harus memanggil pihak yang terlibat dalam industri terbabit dan menjelaskan perkara itu.

“Sekiranya pendedahan itu didapati benar, tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang perlu diambil bagi mengelak ia berulang.

“Ini telah mencemarkan nama baik pemain industri (agensi umrah),” katanya.

Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu sidang akhbar bahawa 17 daripada 122 kes COVID-19 varian Omicron di negara ini tidak mempunyai sejarah vaksinasi, dengan 12 daripadanya dalam kalangan jemaah umrah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button