Berita Utama

Kes Azam Baki: Beri ruang siasatan sepenuhnya

'Kita tunggu, kita tidak boleh jump into conclusion': PM

KOTA MARUDU, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Semua pihak harus memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan berhubung kes itu kini dilakukan pelbagai pihak, antaranya Suruhanjaya Sekuriti selain siasatan dalaman oleh SPRM sendiri, dan ia sekali gus menolak dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan berdiam diri.

“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah. SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.

“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh ‘jump into conclusion’ seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button