Berita Utama

Malaysia hampiri angka 100 peratus populasi dewasa divaksin

22,878,955 individu atau 97.7 peratus telah lengkap divaksin

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di Malaysia menghampiri 100 peratus apabila seramai 22,878,955 individu atau 97.7 peratus telah lengkap divaksin, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman COVIDNOW, dalam tempoh sama sebanyak 98.9 peratus atau 23,164,441 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,764,980 individu atau 87.8 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,855,467 atau 90.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Sementara itu, sejumlah 216,668 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 2,627 dos pertama, 3,383 dos lengkap dan 210,658 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 59,033,667 dos dengan 7,570,846 daripadanya adalah dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 16 kes kematian direkodkan semalam dengan dua daripadanya adalah kematian di luar hospital.

Daripada keseluruhan 16 kes kematian semalam, sebanyak empat direkodkan di Johor; Sabah (tiga), Kedah dan Selangor masing-masing mencatatkan dua kematian, manakala masing-masing satu kes di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button