Berita Utama

Perlu ada akta pastikan tanah rizab Melayu diganti

‘Jika tiada kesedaran, barangkali kubur kita pun tiada di masa depan’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Perlu ada satu Rang Undang Undang (RUU) baharu digubal bagi tujuan memastikan penggantian tanah rizab Melayu yang telah diambil oleh negeri-negeri.

Pengerusi Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof Dr Ismail Omar berkata, kelemahan yang berlaku sekarang adalah kerana tiada satu jabatan yang mengkhususkan kepada pengurusan tanah rizab Melayu.

“Patutnya tanah rizab Melayu sekurang-kurangnya ada kios kecil untuk menguruskannya. Minta maaf cakap di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) pun tiada unit tanah rizab Melayu, apatah lagi di pejabat tanah. 

“Yang ada pun itu ad hoc semuanya. Hanya empat negeri sahaja ada data berkaitan tanah rizab Melayu,” katanya dalam Konvesyen Tanah Melayu 2022: Isu Dan Cabaran Pemilikan Ke Arah Penyelesaian Terbaik di Wisma Sejarah, hari ini.

Profesor Harta Tanah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berkata, ketiadaan jabatan khusus untuk melindungi tanah rizab Melayu mencerminkan bahawa ‘senjata’ orang Melayu belum ampuh lagi.  

“Bukan kita nak pertajam senjata nak bunuh orang. Tidak. Tetapi apabila kita ada senjata yang tajam, dapatlah kita putuskan tali yang mengikat kita. Untuk kita bebas dan berfikiran terbuka, untuk menyonsong arus dan maju ke hadapan. 

“Tapi jika kita terikat, kaki kita terikat, ditambah mental kita terikat. Akan jadi susah kita nak maju ke hadapan. Takkan capai sustainability. Apatah lagi wakaf,” katanya.

Untuk membekalkan rakyat dengan maklumat serta pengetahuan mengenai hartanah, beliau berkata, PERTAMA sedang merancang untuk merakyatkan ilmu hartanah di semua peringkat. 

“Kita akan usahakan untuk dimasukkan dalam silibus sekolah Darjah 6 untuk beri penekanan mengenai ilmu hartanah,” katanya.

Jika ia tidak dilaksanakan, beliau berkata, dibimbangi situasi sekarang yang menyaksikan penyusutan tanah rizab Melayu akan berlanjutan hanya kerana ketidakcekapan dan kurangnya ilmu pengetahuan dalam menguruskannya.

“Boleh dikatakan 95 peratus pegawai pentadbir tanah tidak mempunyai asas ijazah pertama dalam bidang tanah. Bukan nak kata mereka tak boleh buat kerja, tidak. Tetapi mereka akan ambil masa yang lama untuk belajar, untuk melaksanakan keputusan berkaitan dengan tanah. 

“Walhal pejabat tanah, yang kerjanya orang Melayu, pegawai daerah orang Melayu, kakitangan JKPTG orang Melayu. Tetapi tanah rizab Melayu terus menyusut. 

“Jangan terkejut, jika kita tak melihat perkara ini dengan penuh kesedaran. Barangkali kubur kita nanti pun tiada. Yang menguruskan kubur kita adalah orang bukan Melayu. 

“Kita bukan rasis tapi ini adalah fakta. Kita kena berjaga-jaga. Bukannya berjaga-jaga dengan ambil hak orang lain. Tetapi ambil hak kita dengan wajar dan penuh hikmah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button