Berita Utama

Polis tahan 2 lelaki, rampas 50 ekor kambing seludup

Kesemua 50 ekor kambing berkenaan bernilai RM30,000

PASIR MAS, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki cuba menyeludup masuk 50 ekor kambing dari negara jiran di Jalan Repek-Lubok Jong, di sini pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, kedua-dua lelaki yang juga pemandu dan kelindan lori itu dikesan kerana memandu lori dalam keadaan mencurigakan.

“Polis telah mengekori dan berjaya menahan lori itu di tepi jalan Kampung Repek dan pemeriksaan lanjut ke atas lori tersebut, kita menemukan 50 ekor kambing.

“Pemandu lori juga gagal mengemukakan sebarang dokumen permit permindahan haiwan ternakan dan disyaki kambing tersebut diseludup masuk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku terlibat dengan kegiatan penyeludupan kambing dari negara jiran dah kesemua haiwan itu diangkut dari kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti, di sini, sebelum dihantar ke kandang di Lubok Jong milik seorang lelaki dikenali ‘Mie Jawi’.

“Kesemua 50 ekor kambing ini bernilai RM30,000 dan lori dianggarkan bernilai RM15,000 diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya menambah kedua-dua suspek didapati negatif dadah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button