Berita Utama

Kes tukar agama anak: Peguam Loh mohon percepat keluar rekod rayuan

Pasukan pembelaan Loh dalam usaha mendapatkan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi bagi menyediakan rekod rayuan

PUTRAJAYA, 4 Zulkaedah 1444H, Khamis – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Jun bagi pengurusan kes rayuan ibu tunggal Loh Siew Hong bagi mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral.

Peguam J. Gunamalar yang mewakili Loh ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pengurusan kes ditetapkan untuk mengemas kini rekod rayuan mahkamah.

Beliau berkata pasukan pembelaan Loh dalam usaha mendapatkan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi bagi membolehkan mereka menyediakan rekod rayuan dan mengemukakannya kepada mahkamah supaya mahkamah boleh menetapkan tarikh pendengaran awal untuk rayuan Loh.

“Kami sedang menyegerakan proses rekod rayuan,” katanya.

Pengurusan kes bagi rayuan Loh didengar hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman secara dalam talian melalui e-Review.

Ibu berusia 36 tahun itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar pengislaman tiga anaknya oleh bekas suami wanita itu tanpa persetujuan anaknya.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya berkata tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu berhenti menganut agama Islam apabila berada di bawah jagaan ibu mereka.

Beliau juga berkata tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu telah kembali ke agama Hindu.

Loh, memfailkan permohonan itu pada 25 Mac tahun lepas dan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden.

Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.

Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam, bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button