Berita Utama

Tanah rizab Melayu hanya tinggal 23 peratus sahaja

Tanah Orang Asli juga kini jadi korban pemimpin rakus

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Menyedihkan! Pengkaji arkeologi, Zaharah Sulaiman mendedahkan, jumlah tanah rizab Melayu yang ada di negara ini hanya tinggal 23 peratus sahaja.

Beliau mendakwa, kemerosotan ketara tanah rizab berkenaan berlaku ekoran daripada sikap tamak dan rakuskan wang ringgit oleh pemimpin yang berkepentingan.

Bukan itu sahaja, dedahnya lagi, kini tanah milik Orang Asli juga menjadi ‘korban’ kepada kerakusan tersebut sehingga memaksa mereka berpindah mencari tempat perlindungan lain.

“Namun bagi masyarakat Orang Asli mereka tidak berminat dengan rumah gantian baharu yang tidak sesuai dengan gaya hidup mereka.

“Sebaliknya masih mencari rumah sebenar yang dibina dengan cara mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Konvesyen Tanah Melayu 2022: Isu dan cabaran pemilikan ke arah penyelesaian terbaik di Wisma Sejarah, hari ini.

Zaharah mendakwa, kebanyakan daripada tanah rizab Melayu digunakan untuk tujuan pembangunan, namun apa yang malangnya ia dijayakan oleh pemaju asing.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan mengapa tergamak pemimpin negara menggadaikan tanah berkenaan demi wang ringgit, padahal ianya dilindungi untuk orang Melayu dan generasi masa hadapan.

“Sepatutnya separuh daripada Semenanjung Malaysia adalah tanah rizab Melayu namun sayangnya perkara itu terhakis demi sedikit di atas kerakusan pemimpin-pemimpin kita sendiri yang menukar kepada pembangunan dan menjual kepada pihak lain yang berkepentingan.

“Sedangkan tanah rizab Melayu tersebut sekiranya dibangunkan secara geopolitik, ekonomi dengan strategi ke arah pembangunan yang lebih mantap sekali gus boleh membangunkan orang Melayu sendiri.

“Namun banyak pemimpin sukar membangunkan tanah rizab Melayu itu sendiri sebaliknya mereka tukar kepada pembangunan,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya keadaan ini tak dibendung secara serius dan tiada desakan lebih lantang kepada kerajaan ia akan menyebabkan pelupusan tanah rizab Melayu semakin berleluasa.

Sehubungan itu, Zaharah mencadangkan penubuhan Kementerian Tanah Hak Peribumi bagi mengurus dan memantau kedudukan tanah rizab Melayu di negara ini.

“Kita pelik selepas lebih 60 tahun negara merdeka namun tiada pihak yang jelas menguruskan tanah rizab Melayu dan hanya diagih-agihkan kepada pihak tentu sahaja memantau.

“Ini semua menyebabkan berlaku ketidaktelusan berbanding ada pihak yang nyata menguruskan selain dapat memperkemaskan data dan fakta berkaitan tanah rizab Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button