Berita Utama

Thailand hulur bantuan kepada rakyat Malaysia terkesan banjir

Sumbang beras, pakaian dengan jumlah keseluruhan bernilai RM150,000

BUKIT KAYU HITAM, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Keprihatinan rakyat Thailand terhadap rakyat Malaysia yang berdepan musibah banjir diterjemah melalui kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari negara jiran itu yang menyalurkan sumbangan kepada mangsa terjejas.

Pengasas Yayasan Al-Manjie di Malaysia iaitu Zuwairi Japri Al-Manjie berkata pihaknya menyumbangkan beras, pakaian dan telekung kepada mangsa banjir yang keseluruhannya bernilai RM150,000.

“Lebih kurang antara tiga hingga empat NGO yang sama membantu memberikan sumbangan untuk mangsa banjir di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan daripada NGO Thailand kepada Yayasan Al-Manjie di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid.

Zuwairi berkata sumbangan yang diserahkan hari ini berjumlah RM600,000 iaitu termasuk pemberian rakyat Malaysia yang menyumbangkan wang kepada pihaknya bagi membeli barangan di Thailand untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau berkata pihaknya juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Thailand yang memberikan kerjasama yang memudahkan urusan membawa masuk barangan sumbangan itu dengan tiga treler untuk diserahkan kepada mangsa di negeri yang terjejas banjir.

“Kerajaan Thailand yang membenarkan kami masuk dan banyak memberikan kami bantuan. Membuka pintu sempadan untuk kami membawa masuk barang tanpa dikenakan apa-apa cukai, begitu juga dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

Zuwairi berkata sumbangan itu akan diurus bersama oleh yayasaan tersebut dengan Sekretariat Food Bank Malaysia untuk diagih kepada semua mangsa banjir melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Siti Zailah pula berkata keprihatinan itu amat besar maknanya kerana ia adalah bukti hubungan baik Malaysia dengan Thailand.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan agensi kerajaan yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir. Kerajaan sentiasa komited dalam mengutamakan kebajikan rakyat dalam apa jua keadaan apatah lagi dalam keadaan rakyat yang menghadapi bencana ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button