Berita Utama

Tubuhkan RCI antara 6 resolusi selesai isu tanah rizab Melayu

Tindakan segera perlu dilaksana bela nasib orang Melayu

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengemukakan enam resolusi bagi menyelesaikan isu tanah rizab Melayu yang semakin terhakis.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya akan menyerahkan resolusi berkenaan kepada pihak berwajib dalam masa terdekat.

Katanya lagi, ini bagi memboleh pencabulan yang berlaku terhadap tanah rizab Melayu dapat diselamatkan demi kepentingan masa depan negara dan anak bangsa.

Antara resolusi yang telah dipersetujui adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada pakar undang-undang dan ekonomi tanah untuk menyelamatkan tanah rizab.

“Kita juga perlu membentuk bank data untuk menyiasat punca dan data sebenar tanah rizab Melayu yang telah diambil tanpa diganti, selain saiz tanah rizab yang masih ada atau yang tergadai secara tidak wajar atau dikuasai pihak tidak berhak di bawah Perlembagaan.

“Dalam masa sama, kita juga perlu mewujudkan mekanisme sesuai untuk menggantikan tanah rizab Melayu yang hilang supaya digantikan semula dengan nilai yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Konvesyen Tanah Melayu 2022: Isu dan cabaran pemilikan ke arah penyelesaian terbaik di Wisma Sejarah, hari ini.

Aminuddin menegaskan, tindakan segera perlu diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pihak yang bertanggungjawab atau bersubahat menggadai, menjual dan menceroboh tanah berkenaan sejak dahulu hingga kini.

“Pindaan enakman rizab Melayu mesti dibuat segera bagi menghukum individu yang terlibat,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, sudah tiba masa kerajaan membentuk Kementerian Tanah dan Hak Peribumi Tanah Rizab Melayu dan menubuhkan Bank Tanah Negara dengan peruntukkan RM5 bilion.

Semua itu bertujuan untuk memajukan semula tanah rizab Melayu dan membeli semula tanah-tanah berkenaan yang telah terjual.

Info grafik Resolusi Konvensyen Tanah Melayu 2022

1. Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terdiri pakar-pakar undang -undang dan ekonomi
2. Bentuk pasulan bank data untuk siasat punca data sebenar tanah rizab Melayu yang telah diambil tanpa diganti
3. Wujudkan mekanisme yang sesuai untuk gantikan kembali tanah rizab Melayu
4. Mengambil tindakan melalui SPRM terhadap pihak bertanggungjawab dalam gadai tanah rizab Melayu
5. Bentuk Kementerian Tanah dan Hak Peribumi Tanah Rizab Melayu
6. Bentuk kumpulan pakar sediakan Pelan Pembangunan Tanah Rizab Melayu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button