Berita Utama

13 ditahan pandu secara mabuk sekitar ibu negara

350 saman dikeluarkan sepanjang operasi

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Seramai 13 pemandu ditahan dalam Operasi Samseng Jalan, Op Motosikal/Pelbagai kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata, pemandu terbabit ditahan dalam operasi yang bermula Jumaat (7 Januari) hingga hari ini (9 Januari).

“13 suspek berusia antara 26 hingga 43 tahun itu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan didakwa,” katanya.

Operasi sama yang diadakan di sekitar kawasan bandar termasuk Jalan Raja Laut dan Jalan Pahang, turut menyaksikan lapan orang ditahan kerana melakukan aksi berbahaya.

“Mereka menaiki kenderaan sambil melakukan aksi berbahaya dan berlumba sesama sendiri. Suspek berusia antara 15 dan 21 tahun,” katanya.

Sebanyak 350 saman dikeluarkan sepanjang operasi itu dan sembilan motosikal dirampas kerana ubah suai secara haram, katanya.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan terus mempertingkatkan skop operasi kami pada hujung minggu untuk membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button