Berita Utama

3 kes baharu COVID-19 babit mangsa banjir, keseluruhan 469

Tiada pertambahan kluster baharu dilaporkan di PPS

BANGI, 6 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Tiga kes jangkitan baharu COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan kepada 469 kes, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, setakat hari ini tiada pertambahan kluster baharu direkodkan dan hanya satu kluster dilaporkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS).

Katanya, sehingga jam 3 petang tadi, sejumlah 55 PPS masih beroperasi membabitkan negeri Johor (46), Pahang (6) dan tiga lagi di Melaka dengan keseluruhan 3,949 mangsa terjejas.

Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini juga sebanyak sembilan kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir membabit Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) (8 kes) dan satu kes penyakit kulit.

“KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

“Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan supaya mengelakkan berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir ketika berada di PPS, selain memakai pelindung diri ketika operasi memindahkan mangsa banjir serta sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir.

“Pastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan amalkan cuci tangan menggunakan pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi guna sama seperti tandas.

“Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir dan sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menasihatkan supaya elak daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar, selain segera dapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran sekiranya bergejala bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil, kanak-kanak dan mereka mempunyai komorbiditi.

“Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.

“KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button