Berita Utama

Pencemaran bau Sungai Semenyih disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai

Pihak bertanggungjawab akan akan dikena tindakan undang-undang

SEPANG, 17 Safar 1442H, Isnin – Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan semalam, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Alam Sekitar dan Air. Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.

“Buat masa ini kita terpaksa menunggu pencemaran bau itu hilang, barulah loji dapat beroperasi semula. Setakat ini kita tidak pasti berapa lama sebab kita masih menyiasat punca pencemaran bau itu dan seluruh pasukan penyiasat tertumpu di Sungai Batang Benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selepas mendengar taklimat daripada Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesen Pam Air Mentah Loji Sungai Semenyih, Jenderam Hilir, di sini malam ini.

Tuan Ibrahim berkata, sampel air yang diambil dari Sungai Semenyih pada 4.30 petang semalam adalah 4 TON (ukuran kadar bau), manakala pada pukul 9.00 malam pula ia meningkat kepada 11 TON.

“Jadi sukar untuk kita jangka adakah ia makin meningkat, selagi puncanya belum ditutup. Warnanya pun semakin keruh,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu akan diarahkan menutup operasi, selain dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Amirudin berkata, pihak Kerajaan Negeri Negeri Sembilan serta Jabatan Alam Sekitar negeri itu telah dihubungi bagi memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Sungai Batang Benar adalah anak sungai kepada Sungai Pajam dan dari Sungai Pajam mengalir ke Sungai Semenyih. Jaraknya sekarang kira-kira 30km dan ia (pencemaran) bukan sahaja rentas daerah tetapi sudah rentas negeri pun,” katanya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, katanya, kerajaan negeri telah berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menggerakkan pelan bagi mengambil air dari Tasik Putrajaya sebagai alternatif jika berlaku gangguan bekalan air di Selangor.

“Kita telah buat kiraan, jika berlaku pencemaran, kita boleh bertahan kira-kira tujuh hari (dengan air dari Tasik Putrajaya). Dengan komitmen diberikan oleh Menteri (Tuan Ibrahim) kita berharap masalah dapat diatasi dan kosnya kita sedia bincangkan,” kata Amirudin sambil menambah pencemaran itu turut memberi kesan kepada kawasan Putrajaya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kementerian menjangkakan pelan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada pukul 4.30 petang semalam, akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, dua LRA terlibat ialah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang telah dihenti tugas sepenuhnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button