Dunia

Kes terus melonjak, Filipina arah tambah katil hospital

Hampir 60 peratus kes baharu direkodkan di ibu negara

MANILA, 6 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Filipina mengarahkan pertambahan katil hospital dan sumber perubatan di sekitar Manila, apabila negara mencatatkan rekod baharu tertinggi kes jangkitan harian COVID-19.

Hampir 60 peratus daripada 28,707 kes direkodkan di ibu negara, yang menyaksikan peningkatan berterusan kemasukan kes hospital, walaupun kapasiti penggunaan katil masih di bawah paras kritikal.

Pihak berkuasa kesihatan juga diarahkan untuk meningkatkan kadar inokulasi di luar wilayah, kata jurucakap presiden, Karlo Nograles dalam satu kenyataan.

Kementerian kesihatan memaklumkan, 15 lagi kematian direkodkan akibat COVID-19 menjadikan keseluruhan ketika ini mencecah 52,150.

Filipina turut melaporkan lebih 2.96 juta kes sejak wabak itu bermula, antara jumlah tertinggi di Asia Tenggara.

Pejabat kerajaan termasuk Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Pejabat Operasi Komunikasi Presiden telah mengumumkan penutupan sementara sebagai langkah berjaga-jaga selepas beberapa kakitangan mereka dijangkiti.

Peningkatan kes COVID-19 mendorong kerajaan mengetatkan sekatan mobiliti sejak minggu lalu.

Malah, Presiden Rodrigo Ruterte mengancam mana-mana rakyat negara itu yang tidak divaksinasi supaya ditangkap, sekiranya gagal mematuhi arahan untuk berada di rumah.

Di bawah peraturan sedia ada, mana-mana individu yang tidak divaksinasi di wilayah Manila hanya dibenarkan keluar rumah bagi tujuan urusan penting.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button