Dunia

Myanmar isytihar gencatan senjata

Alu-alukan penyertaan Duta Khas ASEAN ke Myanmar sertai rundingan

PHNOM PENH, 6 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Jeneral Min Aung Hlaing, pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar yang memerintah, mengisytiharkan gencatan senjata ketika bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen yang melawat Nay Pyi Taw pada 7 Januari. 

Min Aung Hlaing memaklumkan Hun Sen bahawa kerajaan Myanmar sebelum ini telah mengisytiharkan gencatan senjata selama lima bulan dengan semua Pertubuhan Bersenjata Etnik (EAO) sehingga akhir Februari 2022, dan kini memutuskan untuk melanjutkannya sehingga akhir 2022.

Demikian menurut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja.

Min Aung Hlaing menyeru semua pihak menerima gencatan senjata itu demi kepentingan negara dan rakyat, menamatkan semua tindakan keganasan dan bertenang sepenuhnya, tambah kenyataan itu.

Di pihak Hun Sen, beliau sangat menyokong langkah itu yang bertujuan meredakan ketegangan dan membolehkan dialog membina dalam kalangan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mencapai keamanan berkekalan dan pembangunan negara, kata kenyataan itu.

Min Aung Hlaing berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan Duta Khas ASEAN ke Myanmar untuk menyertai rundingan gencatan senjata dengan EAO.

Menurut VNA, kedua-dua pemimpin itu turut menyokong pertemuan dengan pihak berkepentingan seperti Duta Khas ASEAN ke Myanmar dan Setiausaha Agung ASEAN, termasuk untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Myanmar.

Mereka berkata, adalah amat penting menyediakan mekanisme dan kemudahan yang sesuai untuk program vaksinasi COVID-19 serta pemberian bantuan kemanusiaan yang berkesan kepada orang yang memerlukan tanpa diskriminasi.

Kemboja bertanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan Perdana Menterinya Hun Sen menjadi pemimpin asing pertama melawat Myanmar sejak rampasan kuasa Februari 2021. Lawatan dua hari beliau bertujuan mencari penyelesaian bagi menamatkan krisis politik yang sedang berlaku di Myanmar sejak rampasan kuasa itu.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button